Sinopsis The Pursuit of Happyness

Question:
Anda dikehendaki untuk menonton filem “The Pursuit of Happyness” dan jawab soalan-soalan berikut:
1. Namakan DUA (2) watak-watak utama dalam filem tersebut.
2. Berikan sinopsis filem ini mengikut kefahaman anda.
3. Adakah anda mahu menonton filem ini lagi. Kenapa? Kenapa tidak?
4. Bincangkan mengenai sikap usahawan terhadap risiko.
5. Bincangkan sifat keusahawanan yang perlu ada pada seseorang usahawan di Malaysia untuk berjaya.
Answers:
1.0 PENGENALAN
Dalam subjek teknologi keusahawanan ini, kami dikehendaki menonton filem The Pursuit of Happyness dan menyediakan laporan berdasarka filem tersebut sebagai tugasan individu. Jalan cerita filem ini adalah adaptasi daripada pengalaman sebenar yang pernah berlaku. Filem ini mengetengahkan Will Smith sebagai watak utama dan Jaden Smith sebagai anak kepada Will Smith. Ketabahan dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh watak utama menjadi subjek utama dalam cerita ini. Banyak sikap positif untuk menjadi usahawan yang boleh diambil sebagai pengajaran jika ingin berjaya dalam bidang keusahawanan ini.
2.0 JAWAPAN
1) Namakan DUA (2) watak-watak utama dalam filem tersebut.
· Will Smith sebagai Chris Gardner
· Jaden Smith sebagai Christopher.
2) Berikan sinopsis filem ini mengikut kefahaman anda.
Filem The Pursuit Happyness ini adalah sebuah filem yang diadaptasikan daripada sebuah kisah benar yang pernah berlaku. Kisah ini berlaku pada tahun 1981 di San Francisco yang menceritakan tentang kesusahan dan keperitan sebuah keluarga dalam menjalani kehidupan seharian. Chris Gardner telah melaburkan semua wang simpanan keluarganya untuk membeli mesin pengimbas ketumpatan tulang mudah alih dalam jumlah yang banyak. Gardner beranggapan bahawa alat tersebut berpotensi tinggi untuk dijual kerana ia adalah lebih bagus daripada mesin yang sedia ada di hospital sekarang. Tetapi harga mesin tersebut yang 2 kali ganda lebih mahal dari mesin sedia ada menyebabkan para doktor lebih cenderung menggunakan mesin sedia ada berbanding membeli mesin baru dengan harga yang jauh lebih mahal. Hal ini demikian menyebabkan Gardner sukar mencari pembeli kepada mesin mudah alih tersebut.
Disebabkan Gardner telah melaburkan wang keluarganya untuk membeli mesin tersebut maka pendapatan keluarganya bergantung kepada penjualan mesin tersebut. Gardner perlu menjual mesin mudah alih itu sekurang-kurangnya 2 buah mesin sebulan bagi membayar keperluan seharian keluarga seperti duit sewa rumah, tempat jagaan Christoper dan sebagainya. Walaupun isterinya turut bekerja tetapi gajinya terlalu kecil dan tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga. Kegagalan Gardner menjual mesin tersebut menyebabkan mereka terpaksa berhutang dengan tuan rumah dan melambatkan pembayaran yuran penjagaan anaknya. Isteri Gardner, iaitu Linda sangat tertekan dengan situasi ini dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke New York untuk bekerja di restorant milik kekasih adiknya disana. Biarpun Linda berat hati untuk meninggalkan Christoper tetapi dia terpaksa melepaskan hak penjagaan tersebut kepada Gardner kerana Linda tidak pandai mengasuh anaknya itu.
Semasa Gardner cuba untuk menjual mesin mudah alih tersebut, banyak dugaan dan halangan yang dihadapi oleh Gardner. Mesin tersebut pernah disalah anggap sebagai mesin masa, ada juga yang cuba mencuri mesin tersebut. Pada suatu hari, dia berjumpa dengan seorang broker saham berkereta mewah dan berjaya. Gardner sempat bertanyakan rahsia kejayaannya. Selepas pada saat itu, Gardner berazam untuk menjadi seperti broker saham tersebut kerana Gardner yakin walaupun dia memiliki kelayakan akademik yang rendah tetapi dia sedar bahawa dia juga mempunyai kelebihan iaitu bagus dalam nombor dan bagus dengan orang ramai sama seperti broker saham tersebut. Dalam perjalanan menjual mesin tersebut, Gardner telah berjumpa dengan salah seorang daripada pengurus di Dean Witter dan dia telah Berjaya menyelesaikan Rubic Cube dalam masa yang singkat iaitu semasa berada dalam teksi. Kekangan kewangan menyebabkan Gardner terpaksa mengelak daripada membayar tambang teksi yang agak mahal. Kejadian tersebut menyebabkan dia kehilangan satu mesin mudah alih miliknya. Tetapi hubungan Gardner dengan Dean Witter membuka peluang kepadanya untuk menjadi seorang broker saham.
Pada suatu hari, Gardner mendapat peluang untuk menjadi broker saham seperti yang diidam-idamkan. Dia datang dengan berpakain yang kusut masai bagi temuduga sebelum ditawarkan kursus dan latihan amali. Sebelum itu, Gardner ditahan sehari di lokap kerana gagal melunaskan denda parking. Walaupun dia datang dengan keadaan yang tidak terurus tetapi keyakinan dalam diri Gardner menyebabkan dia berjaya menarik perhatian pengurus-pengurus Dean Witter untuk memberikan tempoh latihan dan percubaan kepadanya. Semasa menjalankan latihan amali, semua hak milik dan akaun banknya telah disita oleh pihak kerajaan kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak. Ini menyebabkan dia kehilangan tempat tinggal.
Oleh yang demikian, Gardner dan anaknya terpaksa membawa beg-beg bajunya setiap hari kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap. Suatu saat yang sangat menyedihkan apabila Gardner dan Christoper terpaksa tidur dalam tandas di stesen kereta api bawah tanah sehinggakan Gardner menitiskan air mata mengenangkan nasibnya apabila ada orang datang mengetuk pintu tandas kerana ingin menggunakannya. Mereka akhirnya mendapat tempat tinggal yang selesa di Glide Memorial tetapi perlu daftar masuk pada pukul 5. Mereka perlu beratur panjang setiap hari dan perlu beratur awal bagi mengelakkan tidak dapat tempat tinggal. Setiap hari mereka akan terkejar-kejar pulang dari kerja untuk mendapatkan rumah tumpangan tersebut.
Semasa tempoh percubaan dilakukan, Gardner bekerja keras dalam memastikan dia berjaya menjadi seorang broker saham. Dia membangunkan cara yang lebih efisien untuk menelefon bagi mendapatkan pelanggan. Di penghujung cerita, Gardner telah dipanggil dalam mesyurat dan dari situ dia mendapat berita bahawa dia telah berjaya dan diambil bekerja di Dean Witter sebagai pekerja tetap. Pengorbanannya selama ini nyata berbaloi setalah mendapat berita itu dan meraikan bersama anaknya.
3) Adakah anda mahu menonton filem ini lagi. Kenapa? Kenapa tidak?
Ya. Saya ingin menonton filem ini lagi kerana ia menjadi pembakar semangat dan pendorong yang baik kepada seseorang yang ingin menjadi usahawan berjaya. File mini banyak menggambarkan pengorbanan seorang usahawan yang sanggup melakukan apa saja demi memastikan dia mendapat kejayaan. Kegagalan dalam perniagaan itu menjadi motivasi yang berguna kepada seseorang usahawan. Selain itu juga, filem ini turut mengetengahkan konfliks keluarga tetapi ia tidak menjadi alasan kepada usahawan untuk mengapai apa yang diimpikan. Walaupun jalan ceritanya agak lembap tetapi ia tidak menghalang penonton untuk terus menonton cerita ini kerana ia banyak memaparkan suka dan duka dalam menjalanni kehidupan yang akhirnya memberi kejayaan yang sangat bermakna.
4) Bincangkan mengenai sikap usahawan terhadap risiko.
Seorang usahawan yang ingin berjaya akan berani mengambil risiko walaupun risiko yang terpaksa dihadapi itu sangat besar. Dalam cerita ini, risiko yang dihadapi oleh Gardner adalah ketika dia berani mengambil risiko besar dengan melaburkan semua wang keluarga bagi membeli pengimbas kepadatan tulang mudah alih. Harga pengimbas tersebut adalah dua kali ganda lebih mahal daripada pengimbas sedia ada. Walaupun menyedari perkara tersebut, dia tetap berusaha meyakinkan para doktor untuk membeli mesin ini. Beban daripada risiko tersebut ialah dia terpaksa menjual 2 mesin pengimbas dalam masa sebulan bagi menampung kewangan keluarganya.
5) Bincangkan sifat keusahawanan yang perlu ada pada seseorang usahawan di Malaysia untuk berjaya.
Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya terutama di Malaysia, seseorang itu perlu berkerja keras pada bila-bila masa saja. Ini kerana, kejayaan tidak akan datang bergolek dalam sekelip mata. Mereka perlu memberikan 100% komitmen dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Selain itu juga, seseorang usahawan haruslah sanggup belajar perkara baru bagi memperbaiki kekurangan diri terutamanya dalam bidang keusahawanan. Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang tahu segalanya. Jadi, untuk berjaya seseorang usahawan itu jangan malu untuk bertanya dan belajar dalam melakukan sesuatu keputusan.
Sikap putus asa tidak seharusnya wujud dalam kamus seseorang usahawan itu jika ingin berjaya. Sebagai contoh, jika seseorang usahawan itu mengalami kegagalan, dia sepatutnya memandang kegagalan tersebut dalam sudut yang positif. Orang-orang yang positif pasti akan menjadikan kegagalan tersebut sebagai motivasi untuk bangun semula dan membina kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Untuk menjamin kejayaan, seseorang usahawan di Malaysia perlulah mengamalkan disiplin yang tinggi dalam perniagaannya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jika kita tidak berdisiplin, kejayaan akan sukar untuk dicapai. Usahawan yang Berjaya akan berusaha melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan dan akan lakukan apa yang mereka rancangkan.
3.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, cerita ini banyak memaparkan dan mengetengahkan watak dan karekter seorang usahawan yang berjaya. Seorang usahawan yang berjaya akan sanggup bekorban masa, tenaga, kewangan dan sebagainya demi mendapatkan kejayaan dalam bidang keusahawanan ini. Kegagalan semasa permulaan dalam perniagaan dianggap sebagai motivasi kepada usahawan itu dan ia tidak dijadikan kekangan dan melemahkan semangat untuk berjaya pada masa depan. Seorang usahawan yang berjaya banyak mempunyai sikap positif seperti sabar dalam menghadapi situasi-situasi sukar, tekun dalam membuat sesuatu pekerjaan dan sanggup belajar sesuatu yang baru dan sukar. Kejayaan tidak mudah datang dan untuk berjaya seseorang itu perlu bekerja keras untuk mengapainya.

Comments

mila said…
saya sgt seronok membaca sinopsis cerita ini. saya sudah toton filem ini dan menyarankan rakan-rakan lain untuk tonton.

Popular posts from this blog

Telemovie InsyaAllah - Sinopsis

Iced Jelly Mahkota Parade